PERTANDINGAN KREATIF IKLAN DAN FILEM PENDEK “HIJRAH”
Latar Belakang.
Pertandingan Kreatif Iklan dan Filem Pendek TV “HIJRAH” adalah anjuran Kementerian Penerangan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri sempena sambutan Maal Hijrah 1430H. Program ini merupakan salah satu usaha perintis untuk mengembangkan lagi bidang penerbitan karya penyiaran berkonsepkan penyampaian mesej murni khususnya berkaitan semangat “HIJRAH”.
Program ini bermatlamat untuk memupuk masyarakat berkreativiti dalam menghasilkan karya iklan/filem pendek yang menarik, berkesan serta mampu menyebarluaskan mesej murni dalam usaha membentuk sebuah masyarakat Malaysia berkonsepkan Islam Hadhari.
Disamping dapat membentuk keperibadian dan kualiti hidup rakyat tanpa mengira asal keturunan dan budaya, pertandingan ini juga diharap dapat membudayakan masyarakat ke arah kualiti kehidupan yang lebih baik, sempurna dan berakhlak mulia (pembentukan jati diri).
Selain menjadi platform bagi memberi pengiktirafan kepada mereka yang akan menceburi program ini.
Pengertian Konsep “HIJRAH”
Pengertian “HIJRAH” dari segi bahasa bermaksud “pindah ke satu tempat atau negeri yang lain dari negeri asal,” Manakala dalam pengertian lebih umum ianya bermaksud berpindah daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lebih baik, merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna dan hal ini dapat disebutkan penghijrahan jiwa, mental dan fizikal.
Penghijrahan sikap, iman, akhlak dan sebagainya yang dapat mengubah individu khususnya umat Islam daripada keadaan yang lemah kepada keadaan yang lebih kuat, daripada amalan tidak baik kepada amalan lebih baik, daripada ketinggalan dalam segala pembangunan ilmu, ekonomi, maruah dan sebagainya, menjadi umat yang berketerampilan, berilmu, maju dalam bidang ekonomi, teknologi dan tinggi dalam segala bidang kehidupan dunia dan akhirat, serta kuat dalam amalan kerohanian. |